Jalinan Aksara

salam.
PROLOG.


JALIN KAIT 1

jaga-jaga
pandang jangan lepas
nanti ada tangan
yang tukang kebas.

jaga-jaga
jangan leka ber-facebook
nanti ada
yang tukang sibuk.

jaga-jaga
jangan obses ber-tweet
nanti tak sedar
ada yang tercuit.

ibu ayah, jaga anak.
abang kakak, jaga adik.
dato' datin, jaga amanah.
pak cik mak cik, jaga mulut.
siswa siswi, jaga etika.
awak saya, jaga iman. 

JALIN KAIT 2

bila gerimis,
sejuk hati
gigil jiwa.

bila hujan,
lopak takung air
bersih kotoran yang lekat
tinggal kesan
berkocak gigal.

bila pelangi menjeling malu,
kapas awan lindung perawan,
hilang busuk manusia,
menusuk wangi alam.

biar hujan
bersih dosa.

JALIN KAIT 3

wahai abang
adik tahu
abang perjuang ideologi
atas nama keadilan.

adik tahu
abang mahu musnahkan
keparat dalam korporat.

adik tahu.

tapi abang tak tahu
adik perjuang
maruah keluarga.

abang tak tahu
adik tak mahu
tumpah peluh darah
dari luka ayahanda.

abang tak tahu.

JALIN KAIT 4

letak-letak
harapan atas almari

sukar capai balik
berhabuk bila abai
berkecai bila jatuh.

letak-letak
harapan dalam genggam

mudah dilayang
terus dibawa
senang ditenang.

JALIN KAIT 5

wahai imamku,
andai kau ingin berpoligami, biar adil segalanya.
biar aku bisa sebaris dengan makmummu
dan bahagia dengan salamnya.

ya ALLAH, kau peliharalah iman imamku
agar cintanya kepada diriku dan dunia
tidak melebihi cintanya kepada-Mu.

wahai imamku,
biar kita bersama di dunia
kekal di Jannah ♥

JALIN KAIT 6

mencari sahabat
hadirnya
menguntum senyum
penenang hati.

mencari sahabat
yg hadirnya dibilang
hilangnya dikhabar.

kepercayaan itu ada harganya
bukan untuk dijual dan dibeli
tapi untuk dijaga dan dihargai.

pencarian ada perhentian
memori ada pahitnya
sahabat ada yang hilang
kenangan ada yang tinggal.

JALIN KAIT 7

mencari solusi
bukan hanya pejam mata
baring hadap langit

bukan tadah tangan
tunggu tangan lain memberi

mencari solusi
perlu langkah
tangan untuk menggapai
mulut untuk bersoal
dan minda untuk berbahas.

JALIN KAIT 8

Hembus
alhamdulillah

ukir
senyum segaris

katup
bermula sebuah kehidupan

paling
hadir sebuah tanggungjawab

kaup
syukur ya ALLAH..

senyum
terima kasih pengutus doa.

JALIN KAIT 9

Harapan segagah
gerakan jarum jam
tak pernah lelah
walau bertuankan masa
jasa dan bakti terus tercurah.

Harapan tak akan hilang
walau semalam sudah lenyap
sekarang mendominasi
 esok bercatur misteri.

Segalanya berputar mengikut arah harapan.

Selamat menggenggam impian sahabat. Jumpa di madrasah.

JALIN KAIT 10

Maaf
jika aku keterlaluan dalam berkata-kata

maaf
jika aku mampu paparkan yang kosong-kosong saja

maaf
jika aku selalu menagih simpati dan doa

maaf
jika aku hanya menjadi pengemis jalanan

maaf
jika aku hanya mampu memberi senyuman

dan maaf
jika aku pergi tanpa berkata apa-apa.

EPILOG

jalinan aksara aku terbitkan kembali di medium yang lain tapi berbondakan yang serupa saja, di alam maya. 
aku bukan penagih indah-indah pujian, aku bukan mengemis penghargaan, aku cuma mahu didengar. 
itu saja.

Comments

Popular Posts