Pelita Kunang-kunang

#1

Malam ini bulan muncul riang macam biasa. Bintang berkerlip tersenyum macam biasa. Namun degup hati luar biasa. Langkah diatur dan tangan erat menggenggam jari-jemari yang sejuk itu. Salam dilaung dan masuklah ke ruang tamu yang sudah dipenuhi budak-budak kecil yang menunggu giliran. Duduk bersimpuh sebelah budak perempuan yang rongak tengah tersengih melihat kami membetul letak kaki. Dia kalih pandangan ke arah helaian al-Quran yang terhidang di depan mata. Aku mulakan dengan basmallah dan mula membaca ibu surah sambil menyelak muka surat yang telah dilipat kecil di hujungnya. Kujeling muqaddam yang masih terletak senget atas rehal dan tak tersentuh lagi.
“ Bismillah..hirrohman..nirrohim...” suaku sambil menyelak helaian muqaddam.
Lemah suaranya mengajuk basmallah yang kututurkan lembut. Pensel kayu yang terdampar di dasar beg sandang kukeluarkan dan beri padanya. Dia tunjuk satu persatu huruf yang berbaris atas, bawah dan depan sambil dibunyikan. Walaupun kedengaran sukar pada mulanya, tak mengapa. Asal dia bertatih dari kecil untuk mengenal kalamullah. Biar dewasanya terang dengan barakah al-Quran dan sunnah Rasullullah, allahumma solli ala saiyidina Muhammad.

           Gemersik alunan ayat al-Quran kadang-kadang terhenti dengan sergahan cikgu bila ada yang baca tak ikut mad aslinya, wajibul ghunnahnya dan ihfa’ hakikinya. Tunggang-langgang main langgar saja. Bila marah itu bukan tanda benci, itu tanda sayang. Sayang untuk lihat anak-anak dan cucunya hanyut dalam arus deras banjir modenisasi. Biar dimarah dan diherdik sekarang agar tak diarah dan dikeldaikan nanti. Bila al-Quran bekalannya, merantau mana pun tak akan haus dan lapar. Itu pesannya dalam setiap cubitan dan ketukan penselnya.
“ Yang kat hujung tu tak nak ngaji ke?” laungnya dari belakang tiang rumah yang kelihatan sudah uzur strukturnya.
           Hampir ke laut aku melayan perasaan sendiri sampai tak sedar tinggal kami berdua yang masih belum mengaji. Mengesot aku ke arahnya yang sedang membetulkan cermin mata petak yang menggelongsor di hidung mancungnya.
“ Bismillah..” kumulakan bacaan surah al-Anfal sambil disemak sang guru.

bersambung...

Comments

Popular Posts