Meow.







     Dulu, saya ada bela seekor anak kucing. Nama dia.. er.. er.. Meow kot. Sebab saya selalunya tak letak nama. Kucing kat rumah tu ikut musim juga. Ada tu dapat mak kucing, bapak kucing. Kalau jenis yang besar, saya namakan ikut warna je. Seingat saya, ibu sangat sayang seekor kucing sederhana matang, nama dia Kuning. Kuninglah yang paling lama menjadi kucing angkat keluarga kami. Selepas hampir setahun, Kuning menghilangkan diri tanpa berita sehinggalah saat ini.

    Meow sangat comel. Saya suka main dengan Meow sebab dia manja. Selalunya lepas balik sekolah agama, saya suka tidur sampailah tengah hari. Itupun sebab nak bersiap-siap pergi sekolah rendah. Kalau tak, maunya saya nak bangun. Satu perkara yang saya suka pasal Meow ialah bila saya bangun dari tidur, dia mesti ada kat sebelah saya. Melingkar disebalik gebo dan selimut. Comel je dia tidur. Rasa tak nak bangun bila dah peluk Meow. Dia pula pandai buat muka kesian. Saya tak ada kawan, abang dah besar, adik pula lelaki. Meowlah kawan sejati saya.

    Sekarang, saya dah masuk kolej. Memang taklah kalau nak bela kucing dalam asrama. Malah saya mula rasa jijik dan geli bila tengok kucing-kucing terbiar yang berkeliaran di sekitar kolej. Mengiau meminta-minta belas kasihan dan makanan dari penghuni yang menjinjing bekas berwarna putih. Rasa rimas pun ada juga bila nampak kucing menggeledah tong sampah mencari alas perut walaupun hanya sisa-sisa makanan yang sekurang-kurangnya dapat memuaskan hati yang gulana. Ada juga kucing-kucing jantan yang berkeliaran lagak ‘abang kawasan’ sambil meng-usha kucing betina yang terbaring ayu di tepi koridor.

    Satu hari tu, saya pergi outing. Outing pertama saya sejak masuk kolej. Saya pergi dengan seorang kawan. Kawan dari Terengganu. Mula-mula risau juga masuk kolej, takut tak ada geng. Rupa-rupanya ada juga yang nak berkawan dengan saya. Waktu tu, ramai senior lelaki yang keluar dengan junior. Nak tunjuk jalan kat Alamanda kot. Saya nampak ada seorang abang ni asyik tertunduk je, start naik bas sampailah ke Putrajaya. Dia pakai snow cap. Mungkin tengah baca IB Study Guide.

    Hampir sehari saya berjimba di Alamanda. Kedua-dua belah tangan dah penuh ni. Secara kebetulan, abang snow cap tu ada lagi. Tapi, kali ni plastik di genggamannya yang mencuri perhatian saya. Saya mencuri dengar perbualan dia dengan seorang junior ni.

“ Bang, saya beli 10 tadi,”

“ Cukuplah tu. aku sempat rembat 5 je ni. Nas ada juga beli,”

“ Untungkan kalau hari-hari ada sale,”

    Saya nampak mereka tersengih lebar lalu terdengar gelak kecil, tenggelam timbul dengan suara manusia dan enjin bas yang membingit. Tiba-tiba saya rasa nak menangis. Sebab saya teringatkan Meow. Dulu, saya sayang sangat kat kucing. Kenapa bila dah besar saya rasa benci sangat kat kucing? Hati saya ni dah kering sangatkah dengan kasih dan sayang? Kadang-kadang pelik, cemburu pun ada bila tengok kawan-kawan yang lain teruja sangat bila jumpa kucing tepi koridor. Ada tu sampai dipeluknya! Saya macam biasalah, kalau boleh terserempak pun tak nak. Kenapa saya jahat sangat?

.............................

“ Bagi Belang satu balik ni. Stok makanan diorang ni aku simpan dulu. Habiskan yang kau beli ye,”

“ Bereh boh! Hari-hari makan Whiskaz seronoklah diorang!”

pecah gelak.

“ Rasulullah pun sayang kucing. Sunnah ni.. lagipun kucing tu makhluk ALLAH.. kita memang kena sayang pun..”

..............................



Dari Ibn Umar r.a dari Nabi saw bersabda,” Seorang wanita memasuki neraka kerana seekor kucing yang diikatnya. Dia tidak memberinya makan dan tidak pula membiarkannya memakan serangga bumi.” (Hadis Riwayat Bukhari)





Comments

Popular Posts