Muqadam Merah.

     Terang. Ada keluhan kecil menerobos bibir mungilnya. Lantas dia menujah kakinya untuk turun dari motor cabuk apaknya. Tangan bekunya menggenggam longgar tangan apak, dikucup lesu. Malam ini dia akan berhadapan dengan Mak Ngah lagi. Ikutkan hati nak saja duduk bersimpuh dengan televisyen menonton Utraman episod ketiga belas.

     “ Smekom....” dengar tak dengar. Mariam menyorot kakinya yang lemah ke dalam. Matanya terus tertancap pada dua sosok tubuh yang sedang terbongkok-bongkok, menujah-nujah senaskhah kita lama dengan batang lidi dan duri landak. Hazeq yang sedang menunggu giliran di belakang tak semena-mena mencebik ke arahnya.

     “ Sekarang baru nampak muka..” Hazeq yang setahun tua darinya itu menyapa sinis.

    “ Mentang-mentang dah baca al-Quran, berlagak!” getus hati Mariam. Dia hanya membalas dengan jelingan tajam ditambah rasa dengan kening terangkat gaya The Rock is cooking.

    “ Dah sampai tu.. baca fatihah.. ngulang..” Mak Ngah perasan kehadirannya. Dia tersengih sambil menyahut. Dadanya terus berombak deras. Mak Ngah ni bukan boleh dibawa gurau sangat. Kang ada yang terkena tembakan duri landak!

    Muqadam merah hadiah pemberian Tok Andak dibukanya lemah. Lunyai. Dahlah kulitnya hampir nak tertanggal, helaian kuning kecoklatan itu pula dicontengnya dengan gambar bunga kelopak lima dan contengan abstrak yang lain. Al-Fatihah dialun perlahan. Itulah satu-satunya surah yang dia hafal. Apak banyak ajar doa harian. Sebab itulah dia kena belajar dengan Mak Ngah. Biar lancar baca al-Quran, boleh ngaji kat rumah nanti. Boleh baca Yaasin untuk apak nanti.

    Jika nak dibandingkan dengan budak-budak lain, darjah dua dah sepatutnya naik al-Quran. Tapi Mariam dah 9 tahun tapi muqadam lagi. Dia bukannya malas nak datang. Tapi dia malu dengan budak-budak lain. Terutamanya Hazeq yang suka mengejeknya lembablah, lampilah. Mana dia tak berat nak datang ngaji. Apak pun tak paksa dia pergi ngaji kalau balik dari sekolah dia buat muka seposen, merengek kepenatan. Lagilah dia suka.

    Dia menguis-nguis lidi satey sambil merenung tajam huruf jawi yang berlingkar-lingkar tu. Gayanya seperti sedang khusyuk mengulang, tapi dalam hati siapa sangka ada ribut taufan puting beliung. Dah seminggu dia tinggalkan muqadam, mana tak hilang jim alif mati atas ja, nun depan bunyi apa bagai. Alahai! Bukannya dia tak pandai, malah abjad-abjad jawi tu siap dilagukan.



Ta diatas ta, ta dibawah ti, ta didepan tu..tatitu..

Tsa diatas tsa...



    Hazeq dengan suaranya dibuat-buat gaya seorang tahfiz sambil tertutup-tutup mata mengikut dua baris pertama surah An-Nisa dengan lancar. Mak ngah khusyuk mendengar bacaannya, biar tak ada salah tajwid. Cara Mak Ngah, biar dapat sikit tapi betul. Sehari dua baris saja. Disuruhnya ulang lagi.

    “ Cehh...aci redah je pakai taranum..” matanya berputar ke atas. Kaki Mariam sesemut sebab lama sangat bersimpuh. Mulalah dia tak duduk diam.
“ Yam.. meh sini..” Mariam datang mengambil alih tempah duduk Hazeq.

“ Ish budak gemuk ni.. sampai panas dia buat karpet ni..” kata-kata itu hanya tenggelam ke dasar hatinya. Naya dia kena pelempang sedas dari Mak Ngah kalau betul-betul dia nak ngutuk Hazeq depan-depan.

“ Bismillah.. cepat... lam mim mati atas..” duri landak Mak Ngah bagai menari-nari di atas muqadam.

“ Lam mim mati atas...lam.. ya.. ya diatas...” Mariam menyambung tergagap-gagap.
          “ Erk!” dah agak dah. sedas Mak Ngah cubit kat pinggang. Mariam menahan sakit. Berkerut-kerut.

    Mariam menyeka peluh di pelipisnya dengan hujung lengan baju kurung. Dia tahu Mak Ngah banyak bersabar dengannya. Walau segagap mana anak muridnya, dia tahu marah Mak Ngah tak selama mana. Mak Ngah tahu dia malas nak ngulang, dimarahnya sekali pun tak serik-serik. Sebab itulah Mariam bersungguh-sungguh bila Mak Ngah ajar baris baru. Dia suka sangat bila Mak Ngah terangguk-angguk dengar dia baca. Seronoknya hanya Tuhan yang tahu!

    Malam tu Mak Ngah tahan dia. Lagipun Mariam kena tunggu apak baru boleh balik. Lain dengan Hazeq yang akan jalan kaki balik ke rumah.
“ Hey ada hantulah nanti ikut kau!” gelak keji bila dia dapat takutkan Hazeq. Dia tahu Hazeq kena lalu lorong gelap melintas kebun getah milik Ah Beng, tuan punya tanah yang sewakan kebun kepada apaknya.

“ Diamlah kau budak rongak!” balas Hazeq sambil mencicit lari. Nak je Mariam pergi kejar Hazeq dan tumbuk-tumbuk perut dia. Nasib baiklah dia pakai baju kurung. Dia masuk semula ke dalam rumah bila dengar laungan Mak Ngah dari dapur.

“ Ni ada lebih pengat pisang.. Mak Ngah masak petang tadi..”

“ Ni yang sayang Mak Ngah lebih ni hehe..” Mariam dah agak dah. Mesti ada sesuatu yang Mak Ngah nak surprise.

    Walaupun tiada pertalian darah, Mariam dah anggap Mak Ngah seperti maknya. Dia faham sangat. Mak Ngah garangnya bila masa ngaji je. Masa-masa yang lain Mak Ngah penuh dengan aura keibuan. Dia menghirup laju pengat pisang yang dah dihangatkan tu. Mak Ngah senyum segaris. Ada secubit harapan di dalam hatinya.

“ Yam........” Mak Ngah memegang lembut bahunya. Ada getar dalam suara.






bersambung....






Comments

  1. cepat sambung ! heehh.

    well written. may Allah bless

    ReplyDelete
  2. in shaa ALLAH kak.. tgh busy sikit ni naik sem baru huhu. doakan!

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular Posts