Budak Tarbiyah #1



Jauh. Tenang.

   Entah mengapa hatinya panas kali ini. Biasanya dia tidak endah apabila orang melontarkan pernyataan sebegitu rupa.

Astaghfirullah. Kalimah itu tidak lekang daripada bibirnya petang itu.

"Farid."

   Dia segera menoleh ke belakang setelah mendengar namanya dipanggil. Kelibat Muaz yang memakai baju 'Free Palestine' pada petang itu masuk ke dalam ruang penglihatannya.

Dia boleh agak mengapa Muaz datang mencarinya.

   "Farid," kata Muaz, mengambil tempat duduknya di sebelah Farid. "Aku dengar kau ada problem. Nak share ke?"

Dah agak dah, bisik hati kecil Farid.

"Kau dengar daripada siapa ni?"
 "Adalah. Bukan Muaz lah wei kalau berita ikhwah tak sampai kat aku," kata Muaz, sedikit tergelak.

   Farid tersenyum sama. Benar, Muaz seorang yang begitu prihatin dan laju jika sesuatu itu berkaitan ikhwah. Kalau ada ikhwah yang jatuh sakit, pasti dia yang pertama menziarahi. Jika ada ikhwah yang menyambut ulang tahun, pasti dia yang pertama mendoakan. Andai ada ikhwah yang mengalami masalah, pasti dia yang pertama memberikan telinga untuk dipinjam.


"Entahlah Muaz. Aku rasa kau tahu kan background aku macam mana."

   Kata-kata itu membuatkan Muaz teringat akan saat pertama kali mereka bertemu. Pagi itu pendaftaran kolej yang terletak di Bukit Changgang sedang berlangsung. Dengan izin Allah, dia bertemu Farid ketika ingin mengambil gambar untuk ID pelajar. Sekali pandang, Farid kelihatan seperti seorang pelajar biasa; rambut sedikit terpacak, keras barangkali disebabkan gel rambut, baju lengan panjang berwarna biru muda yang dipakainya dilipat sehingga ke paras lengan, seluar hitam yang diseterika sehingga jelas garisannya. Namun setelah mengenali dia dengan lebih mendalam, Farid menyimpan sesuatu kegelapan yang bisa memusnahkan masa hadapannya.

   "Hmmm. Aku tahu," jawab Muaz pendek. "Tapi apa kaitan dengan masalah kau ni?"
   "Aku rasa down setiap kali orang kata orang yang tak ada ilmu agama itu tak boleh sebarkan dakwah. Aku tahu benda tu betul, tapi bila dia yang cakap seolah-olah nak kata orang bukan sekolah agama tak layak nak berdakwah," kata Farid, menekankan sedikit bahagian 'dia'. "Kalau setakat fikrah je, tak kemana dakwah ni. Bila aku fikir balik, betul apa dia cakap. Aku dulu sekolah harian, dia sekolah agama. Masa lalu aku dipenuhi maksiat dan jahiliyyah, masa lalu dia diserikan dengan talaqqi dan Quran. Aku rasa ibarat seorang pencuri yang diberi amanah menjaga wang simpanan orang lain. Aku..."

Belum sempat Farid menghabiskan ayatnya, satu lempangan sederhana kuat hinggap di pipinya.

   "Peringatan Allah datang dalam pelbagai bentuk. Aku bukan nak kata aku Allah, tapi lempangan aku tadi satu peringatan untuk kau," kata Muaz tegas.

Farid tersentak. Tangan kanannya mencari pipinya yang sedikit pija dek tamparan Muaz.

  "So what kalau kau tak ada background agama? So what kalau kau sekolah harian? So what kalau masa lampau kau penuh dengan maksiat? Itu masa lalu wei, orang dah tak kisah. Kau meraung air mata darah pun kau takkan dapat ubah masa lampau kau. Tapi apa yang kau boleh ubah? Masa depan kau. Kurang ilmu agama? Pergi belajar, bertalaqqi dengan ustaz! Maksiat dan jahiliyyah? Bertaubat. Buat amal kebaikan!"

Farid diam. Dia tahu Muaz kini sedang berada dalam mode tazkirah. Tazkirah yang begitu membina.

   "Peduli orang nak cakap apa pasal kau. Yang penting kerja-kerja kau, amal-amal kau untuk Dia! Bukannya untuk manusia tengok! Yang kau nak affected dengan apa diorang kata tu kenapa? Kau baik mana sekalipun, orang tetap akan bercakap."

Air mata mula terbentuk di kelopak mata Muaz. Sepertinya bila-bila masa boleh gugur.

   "Aku minta maaf," kata Farid, tunduk. 
  "Tak perlu nak minta maaf kat aku. Minta maaf kat diri sendiri tu. Minta maaf kat Allah. Seharusnya kau jadikan masa lampau kau sebagai kekuatan. Berapa ramai sahabat yang menentang Islam sebelum mereka Islam namun memperjuangkan Islam setelah memeluk agama ini?"
   "Tapi aku bukan mereka. Aku tidak sehebat mereka"
   "Farid, tidak ada seorang pun yang lahir hebat. Gila apa lahir lahir terus hunus pedang nak pergi perang. Mereka dahulu seperti kita. Namun mereka berusaha sedaya upaya mereka untuk menjadi hebat. Mengapa tidak kita?"

Sememangnya tazkirah Muaz membina, detik hati Farid.

   "Terima kasih Muaz," kata Farid sambil berdiri daripada tempat duduknya. "Terima kasih kerana memberikan aku tamparan yang membangkitkan, secara literal dan figuratif."

Muaz senyum. Dia turut bangkit daripada tempat duduknya.

   "Sorry ah aku tampar kau tiba-tiba. Saja ja bagi dramatik sikit. Yang penting ilmu yang kau dapat tu kau amalkan, jangan disimpan buat kenangan," kata Muaz berseloroh. "Jom ah, aku belanja roti canai."

Farid tersenyum.




...

Karya asal : Akh AF 291213 


 

Comments

Popular Posts