Budak Tarbiyah #2



Kakinya melangkah laju. Ingin sahaja dia melepaskan amarahnya di bilik.

  Usai sahaja solat Isya' di surau tadi, dia segera membuka laman Twitter untuk membaca kicauan-kicauan rakan-rakan yang dia ikuti. Kebanyakannya berunsur keagamaan. Ada dua tiga yang berkaitan sekolah lama; berkaitan perjumpaan semula MTD masa cuti bulan Disember nanti. Namun ada satu kicauan yang menarik perhatiannya.

@FaridIhsan: Ilmu untuk diamalkan, bukan dibuat koleksi. Praktikaliti itu penting, jangan hanya sekadar menghafal teori.

Entah mengapa dia rasa sedikit marah membaca kicauan itu.

Ah, dia. Setakat cakap je lebih, dia sendiri ilmu entah ke mana, detik hatinya.

   Walaupun dia cuba untuk melupakan kicauan Farid, hatinya masih gagal berbuat demikian. Dia masih terasa panas dengan apa yang dianggapnya sebagai serangan secara tidak langsung terhadap dirinya.

   Dia membuka pintu biliknya sedikit kuat, mengejutkan teman sebiliknya yang sedang khusyuk menelaah buku Kimia setebal 1000 muka surat itu.

   "Lain kali, bagilah salam dulu," kata Khairul. "Ni tak, hang main masuk ja. Pastu hang pi hempas pintu tu. Nasib baik aku tak mati terkejut," katanya sedikit marah.

   Amer hanya mendiamkan diri. Khairul masak benar dengan perangai temannya itu. Andai ada benda yang menggusarkan hatinya, pasti dia akan menunjukkan emosinya melalui perbuatan. Setelah itu baru diluahkan segala yang terpendam.

   Dia juga tahu Amer seorang yang agak baran. Walaupun dia pelajar cemerlang sekolah lamanya dahulu, perangainya kurang disenangi orang sekeliling, baik gurunya mahupun rakan-rakannya.


  "Kau tahu tak Khairul, aku paling benci orang yang rasa dia paling berilmu sedangkan dia tak ada apa-apa," kata Amer, memulakan bicara.

Ironi, detus hati Khairul.

   "Ye lah, kalau pun nak memperjuangkan agama Allah, at least kena lengkapkan diri dengan ilmu agama dulu. Pergi mengaji kat ustaz, ambil kelas agama. Bukannya duduk dalam bulatan, dengar apa yang abang-abang luar cakap je!"

   "Macam mana hang tau dia ni tak belajaq ilmu agama? Dan macam mana hang tau abang-abang depa tak ada ilmu agama?"

   "Antara ustaz dengan abang-abang yang tak ambil bidang agama, mana satu kau nak percaya? Mestilah ustaz bukan? Kita kena cari alim ulama kalau nak tuntut ilmu agama ni. Nanti salah ajaran yang dapat, naya satu kolej ni. Kalau setakat fikrah je yang diorang buat modal, takkan ke mana lah dakwah diorang ni."

Khairul diam sahaja walaupun hatinya memberontak untuk menjawab balik pernyataan Amer

   "Lagi satu, diorang tak berfikir di luar kotak langsung. Banyak je cara lain yang boleh dibuat untuk sebarkan Islam kat orang ramai, tapi diorang taksub dengan usrah. Asyik asyik usrah. Kata memperjuangkan agama, tapi aku tengok ramai je budak-budak usrah yang masih lagi berseluar pendek kat asrama, yang cakap dengan perempuan sampai tergelak-gelak."

   "At least depa ada buat dakwah. Hang ada?" tanya Khairul. Dia sudah tidak boleh menahan sabarnya.

   Amer terdiam. Ya, selama dia berada di kolej ini dia tidak pernah terlibat dengan mana-mana aktiviti usrah ini. Bawa usrah, jauh panggang daripada api.

   "Hang cakap macam mana pun, hang tetap tak boleh nak ubah the fact that depa buat usrah. Hang kata usrah bukan satu-satunya cara berdakwah, then apa usaha dakwah yang hang dah buat? Aku tak kata usrah ni cara terbaik nak naikkan Islam, tapi budak-budak usrah yang hang dok perkecilkan tu at least dah buat kerja. Dah bergerak. Hang masih lena dibuai mimpi!"
  "Ah, kau sama je dengan diorang. Semua aku cakap, semua tak kena!" kata Amer, sedikit marah.

   "Hang tau tak Amer, hang cakap kalau nak berdakwah perlu ada ilmu. Ya, aku tak nafikan benda tu. Tapi aku nak tanya, apa benchmark ilmu yang depa perlu ada baru boleh buat dakwah?"

Diam.

   "Adakah depa perlu hafaz Quran, belajaq tafsir ulama' itu, ulama' ini, pastu kena khatam Sahih Bukhari, Sahih Muslim, belajaq usul fiqh baru boleh buat dakwah?"

Masih lagi diam.

   "Kalau lagu tu lah, nescaya akan berkuranglah orang yang sebarkan dakwah kat dunia ni," kata Khairul. "Tak perlu lah nak tunggu perfect baru nak buat dakwah. Tak perlu pun nak ada title ustaz baru nak buat dakwah. Rasulullah pun pernah kata, sampaikanlah daripadaku walaupun sepotong ayat."

Nada Khairul mula menurun.

   "Satu lagi, daripada hang tuduh depa tak ada ilmu nak buat usrah usrah ni, aku cadang hang duduk sekali dengan depa. Si Faruq tu, aku pernah join dia dua tiga kali. Sebelum setiap perjumpaan, aku tengok dia sibuk baca Tafsir Ibnu Kathir yang ada kat surau tu. Takkan hang nak kata tafsir tu salah kot."

Khairul bingkas bangun daripada tempat duduknya dan menuju ke pintu. Amer masih lagi terduduk dia atas katilnya, sedikit diam.


  "Aku nak keluaq makan angin sat," kata Khairul. "Dan Amer, jangan mudah menghukum depa yang guna jalan lain daripada hang. Destinasi kita sama. Lagipun, macam hang kata, dakwah itu banyak caranya."  


...

AF #1 



Comments

Popular Posts