Mei - Masa




Demi masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar. (surah al-Asr:1-3)

Kata Imam al-Syafi’i rahimahullah: “Jikalaulah Allah tidak menurunkan al-Quran melainkan surah ini, nescaya ia sudah cukup untuk mereka.” Ungkapan padu daripada beliau menggambarkan bahawa surah pendek ini memberikan keseluruhan konsep tentang kehidupan dan hala tujunya. 

Insan yang disebutkan pada ayat kedua menunjukkan bahawa konsep masa ini tertakluk pada setiap manusia, tidak kira tempe (orang tempatan India) mahupun pelajar MIT, MMMC atau KMC. Tidak hairanlah bahawa setiap orang pasti memiliki jam tangan, paling koman pun jam digital di telefon bimbit- menunjukkan bahawa betapa signifikannnya masa untuk kita. Masa juga mempunyai sistem yang teratur, dibahagikan kepada tahun, minggu, hari dan jam. Namun begitu, realitinya kita selalu mengadu tak cukup masa dan ada kalanya menzalimi hak-hak manusia kerana masa. 


Apakah yang dimaksudkan dengan manusia dalam kerugian? 


Perkataan al-Asr sendiri bermaksud masa-masa terakhir, yang tersisa. Pendapat mujtahid lain adalah waktu Asar atau era kegemilangan sewaktu Nabi Muhammad s.a.w. Wujudnya masa membolehkan kita melihat perubahan-perubahan yang berlaku pada tamadun manusia dan yang paling hebat adalah pertukaran alam dari malam kepada siang, musim panas kepada musim luruh, Syaaban kepada Ramadan. 

Oleh itu, kita sepatutnya mempelajari sirah/sejarah bagi melihat era hidup manusia yang panjang, turun naiknya serta konsep untung dan rugi yang dinyatakan Allah dalam surah ini. Mari kita naik mesin masa, mengembara ke zaman Mekah sebelum Rasulullah s.a.w diutuskan. Masyarakat Mekah pada itu bertuhankan nafsu, berhala, nenek moyang dan harta. Berlaku banyak penindasan terutamanya kerana kepentingan suku dan keturunan, seperti yang kita tahu inilah yang dikatakan zaman jahiliyah. Akhirnya, datang Rasulullah s.a.w membawa keuntungan yang paling besar dalam kehidupan ummat sehingga sekarang. Rahmat Allah meliputi kehidupan manusia sehingga beratus-ratus tahun dan mereka menikmati kejujuran, keadilan dan keharmonian dengan sistem Islam yang syumul. Rugilah mereka yang tidak menyambut tawaran yang paling berharga daripada Allah sendiri bagi menyelamatkan diri daripada tipu daya syaitan dan api neraka. Jadi, kita tergolong dalam kumpulan yang mana satu?


Cari untung dunia akhirat


            Formula untung ini tak terdapat dalam mana-mana buku ekonomi dan bisnes. Beruntungnya kita sebagai Muslim diberi akses penuh kepada ilmu al-Quran yang mampu mengubah kehidupan kita 180 darjah. Langkah-langkah untuk keluar daripada kerugiaan ini adalah:
1)      Beriman kepada Allah
2)      Beramal soleh
3)      Berpesan kepada kebenaran dan kesabaran 

Iman yang kita bicarakan ini bukan iman hafalan, bacaan ataupun ikutan. Iman ini manifestasinya adalah amal yang dinamik dan mengubah diri kita menjadi lebih baik. Matlamat orang-orang yang beriman sangat jelas, sangat-sangat menginginkan apa yang Allah redha lalu datanglah perintah Allah untuk beramal soleh. Amal-amal soleh kita bukan sahaja meliputi solat dan puasa malah melibatkan hubungan dengan manusia sekeliling kita. Di situ lahirnya tanggungjawah untuk kita at-tawaasi (menasihati) antara satu sama lain dalam hal al-haq (kebenaran) dan al-sobr (kesabaran). Sinergi ini terbukti mampu menghasilkan ummah yang terbaik dalam pelbagai bidang ilmu seperti Ibn Sina dan al-Khawarizmi. Bukan itu sahaja, hadirnya Islam di bumi Taj Mahal ini juga adalah hasil keimanan mujahid yang mengembara bagi menyebarkan risalah agung ini. 


Pemuda sebelum warga emas!


Hebatnya masa ciptaan Allah, setiap detik mampu menaikkan iman selagi kita memaksimumkan penggunaannya dengan neraca Allah. Jadi tidak hairanlah jika adalah manusia yang merasakan bahawa masanya sangat pendek dan ada pula yang mampu melakukan banyak perkara dalam masa yang singkat. Sebagai pemuda, kita seharusnya memanfaatkan waktu ini bagi melaksanakan tanggungjawab membangkitkan kembali kegemilangan Islam dan tidak pernah redha dengan kezaliman dan kebatilan yang berleluasa.

“Tidak akan tergelincir dua kaki anak Adam pada hari kiamat hingga ia ditanya tentang empat perkara: tentang usianya untuk apa ia habiskan, masa mudanya untuk apa ia habiskan, hartanya dari mana ia peroleh dan ke mana ia belanjakan, dan tentang ilmunya-  apa yang diperbuatkan dengan ilmunya tersebut”. 
(HR. Al-Bazzar dan Al-Thabrani).






Artikel ini disiarkan di HAQ.

Comments

Popular Posts